Thursday, May 20, 2010

Nota tambahan 1

Tambahan I: Abbas Alias Dari Wikipedia

Al Marhum Dato' Dr Haji Abbas Alias merupakan Yang Dipertua Agung PAS yang Ke-2 iaitu dari 1953-1956.Beliau mengambil alih kepimpinan PAS selapas Yang Dipertua PAS yang Pertama,Haji Ahamd Fuad Hassan meletakkan jawatan kerana mahu menyertai Parti Negara yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar.

Namaun beliau tidak dapat memimpin PAS dengan berkesan kerana bekerja dengan kerajaan sebagai doktor di Hospital Kuala Lumpur dan pegawai perubatan jemaah haji Malaya.

Pendaftaran PAS

Dr Haji Abbas Alias adalah orang yang bertanggungjawab mendaftarkan PAS dengan Pendaftar Pertubuhan sebelum menyertai Pilihan Raya Pertama Persekutuan pada Julai 1955.Di bawah kepimpinannya lah PAS memenangi kerusi tunggal dalam pilihan raya tersebut melalui Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin di Parlimen Kerian,Perak.

Pada 1956,beliau berundur dari memimpin PAS dan kepimpinan PAS diterajui oleh Dr Burhanuddin Al Helmy yang menewaskan Prof Zulkifli Muhammad dalam Muktamar PAS ke-5.

Pada 1970-an,beliau kembali menjadi pimpinan PAS apabila dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS hingga awal tahun 80-an

Darjah Kebesaran

Beliau dianugerah darjah kebesaran oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran 'Dato' pada tahun 2002 semasa Pas menguasai Terengganu.

SEJARAH PAS siri 7, PAS DIBAWAH DR ABBAS BIN ALIAS

IBNU HASYIM: FOKUS PAS SIRI 7

DIKATAKAN era kebangkitan PAS peringkat pertama telah berakhir, ialah kerana selepas ini PAS seolah-olah ketandusan pemimpin. Dr Abbas tidak dapat berkhidmat sepenuh masa dengan parti, kerana sedang bertugas di dalam jabatan kerajaan. Walaupun begitu di negeri mana beliau bertugas, maka di situlah benih-benih PAS akan tumbuh.

Umpamanya masa beliau bertugas di Melaka, Terengganu dan lain-lain. Pernah semasa diadakan Muktamar ke 3 di Madrasaah At-Tahzib Ad-Diniyah, Titi Serong Parit Buntar, Perak, waktu itu Dr Abbas berada di Makkah, Arab Saudi. Muktamar yang diadakan pada 12 Ogos 1954. Muktamar yang dikatakan pertama dan mungkin terakhir PAS menyaksikan 3 pemangku YDP. Iaitu:

1.Che Ahmad Awang.
2.Tuan Haji Ahmad Tuan Husin
3.Haji Mansur JP.

Walaupun begitu cawangan-cawangan (sekarang di sebut Kawasan) PAS tetap bertumbuhan di bawah kepimpinannya.

Menurut lapuran akhbar ‘Utusan Melayu’ keluaran 20 Mac 1954, cawangan pertama PAS di negeri Johor telah ditubuhkan pada 19 Mac 1954 di Johor Baharu.

Pimpinan cawangan PAS Johor Baharu:
1.Haji Arifin Alias sebagai Ketua. Beliau ialah seorang jurutera bertauliah, pangasas Hizbul Muslimin di Gunung Semanggul, bekas ketua Hizbul Muslimin Negeri Johor.
2.Osman Abdullah sebagai Setiausaha cawangan,
3.Yusuf Abdul Rahim sebagai Bendahari.
4.8 ahli jawatankuasa.

Dikatakan juga Haji Mohd Said Abdul Hadi salah seorang pengasas dan pernah juga menjadi Setiausaha Perhubungan pertama PAS Negeri Johor, pegawai agama dan pengarang ‘Warta Jabatan Agama Islam Johor’.

Beliau mengatakan:
‘... tokoh-tokoh utama yang terlibat dalam penubuhan PAS Johor adalah terdiri dari bekas-bekas anggota PKMM dan Hizbul Muslimin.’

Reaksinya, sambutan terhadap PAS agak memberangsangkan. Ekoran dari berita itu, satu rombongan masyarakat Bugis dari Benut telah bertemu pemimpin PAS cawangan Johor Baharu dan akhirnya tertubuhlan PAS cawangan di Benut pada 6 Mei 1954.

Pimpinan cawangan PAS Benut:
1.Haji Abdul Razak sebagai ketua.
2.Mohd Tahir sebagai setiausaha.
3.Seorang Bendahari
4.6 ahli jawatan kuasa.
(Seperti lapuran ‘Utusan Melayu’ 7 Mei 1954)

Apa yang menarik perhatian antara usul cawangan Benut itu telah dibawa ke Muktamar Agung PAS di Perak, antara lain meminta PAS Pusat mengadakan pendidikan politik Islam kepada ahli-ahli dan menerbitkan risalah ‘Al-Islam’. Setakat 30 Julai 1954, ahli-ahli PAS cawangan Benut mencapai 750 ahli. Begitu juga di kawasan negeri-negeri Johor yang lain, tumbuh subur cawangan-cawangan PAS seperti di Pontian dan Sungai Pulai Muar hingga tahun 1955. Lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum 1959.

Di Kelantan pula, selepas Mesyuarat Agung Khas diadakan di Tanah Liat, Bukit Mertajam September 1953 itu, satu lawatan ke seluruh negeri Kelantan telah dirancang oleh pegawaai-pegawai pejabat Agung PAS. Rapat umum yang pertama telah diadakan di Pasir Mas Kota Bharu, dan seterusnya di ibu-ibu daerah lain dalam bulan April tahun tersebut.

Pidato-pidato seperti Saudara Othman Abdullah selaku Ketua Pemuda PAS dan Mohd Asri sebagai Penolong Pegawai Tadbir pejabat agung sangat-sangat memberi kesan, sehingga tertubuhnya PAS cawangan Kota Bharu dan Pasir Putih. Sejak itulah dikatakan UMNO Kelantan mula merasakan, di mana PAS merupakan suatu cabaran yang tidak boleh diperkecilkan.

Kesannya, PAS telah menjadi tarikan guru-guru pondok di antaranya ialah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari pondok Bunut Payung. Ketokohan Mohd Asri yang boleh menggerakkan sentimen kefahaman politik Islam dengan gandingan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis dan pandai bermain sentimen dengan menyelitkan unsur-unsur nasionalisme berjaya menarik guru-guru pondok menyertai PAS. (lihat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan (1992), Laporan Tahunan 1991/1992 untuk Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-38, Kota Bharu.

Menurut Amaluddin Darus lagi:

“Sebagai regu yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan pada masa itu, kami telah berjuang tanpa mengenal siang atau malam, dengan dibantu oleh Saudara Khaider Khatib yang sungguhpun belum menjadi ahli pada peringkat itu, sehingga ditubuhkan cawangan Ulu Kelantan, yang bertempat di Kuala Krai. Beliaulah orangnya yang merupakan tenaga luar yang paling banyak memberi kursus-kursus perjuangan Islam, terutama bagi cawangan-cawangan Pasir Putih, di mana ahli-ahli PAS dari cawangan-cawangan Bachok dan Machang telah ikut juga menyertainya, kerana kedudukan mereka yang tidak berjauhan.”

Setelah ditubuhkan selama empat tahun, PAS menyertai pilihan raya Majlis Undangan Persekutuan tahun 1955. PAS meletakkan 11 calon kesemuanya. Di Kelantan PAS telah bertanding dalam tiga kawasan pada masa itu, dan ketiga-tiga calon PAS telah kalah. Mereka yang kalah ialah Mohammad Asri (Bachok dan Pasir Puteh) Muhammad Nor Hj Yusof (Machang dan Ulu Kelantan) dan Haji Mokhtar Hj Ahmad (Pasir Mas).

Berikutan dengan kekalahan itu, jentera PAS bergerak lebih aktif lagi, contohnya Mohd Asri dan Amaluddin Darus hanya berehat seminggu dan terus berusaha menyebarkan PAS ke seluruh Kelantan. Berkat kerja keras, pilihan raya pertama selepas merdeka pada Ogos 1959, PAS telah dianugerahkan kemenangan oleh Allah. PAS menang 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 30 kerusi.

Di bawah pimpinan Dr Abbas Alias juga, PAS telah mengadakan Mesyuarat Agung ke 4 di Madrasah Ahmadiah Bunut Payung, Kota Bharu Kelantan pada tahun 1955. Maka bertambah tersebar lagi pengaruh PAS di kalangan gurug-guru agama Kelantan, bila tok guru pondok tersebut menunjukkan minatnya menyokong PAS.

Fajar kebangkitan Islam terus memancarkan sinarnya lagi, apabila seorang tokoh muda berkaliber yang pernah bersama-sama Datuk Onn menentaang gagasan Malayan Union tajaan British, melalui Herold Mc Michael telah menyertai PAS. Pembentukan perlembagaan Malayan Union diadakan pada 1 April 1946. Kesemua sultan-sultan Melayu tidak menghadiri pertabalan Malayan Union di mana Edward Gent dilantik sebagai Gabenor. Tentangan ini menyebabkan gagasan Malayan Union diganti dengan Perjanjian Persekutuan 1948.

Beliau juga seorang yang cergas dalam GPMS dan pengasas Kolej Islam Malaya yang merupakan sebagai tapak permulaan kea rah penubuhan Universiti Islam di rantau ini. Semasa menuntut di Mesir beliau pernah menjadi YDP Persekutuan Putera-putera Melayu Semenanjung pada (1949-1951) dua tahun berturut-turut. Di sana juga beliau menjawat jawatan Pegawai Kesatuan Pelajar-pelajar Putera Malaya dan Indonesia, Persatuan Kemerdekaan Indonesia dan Perpendo.

Perpendo adalah pertubuhan yang menyatupadukan pemuda-pemuda Islam Thailand, Malaya, Filipina dan Indonesia, dalam menuntut kemerdekaan Negara masing-masing di bawah kesatuan Islam Serantau. Beliau juga pernah bertemu pemimpin-pemimpin Republik Indonesia seperti Sultan Shahrir, Musso, Agus Salim dan lain-lain.

Beliau adalah Ustaz Zulkifli Muhammad.

Seorang ulama, seorang tokoh politik dan seorang sasterawan. Beliau dilahirkan pada 24 Mac 1927 di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar Perak. Apa yang penting, ia telah melibatkan diri bersama-sama pemuda Islam se dunia yang menuntut di Mesir. Antaranya melalui ‘Jamaiah Shubanul Muslimin’ pimpinan Salleh Harbesha, seorang tokoh muda Islam yang progressif.

Waktu itu adalah merupakan tahun kebangkitan Islam di Mesir di bawah pimpinan Al-Imam Hasan Al-Banna dengan gerakan ‘Ikhwan Muslimin’nya yang terkenal dan menjadi panduan gerakan-gerakan Islam se dunia hingga kini. Di sinilah dikatakan Ustaz Zul amat tertarik dengan idea-idea yang dikemukakan oleh Hasan Al-Banna dan tokoh-tokohnya, serta sering mengikuti ceramah-ceramah mereka.

Beliau juga berjaya menubuhkan ‘Egyption Relief Fund Committee’ dan menjadi presidennya. Jadi tidak hairanlah, sewaktu di Mesirpun, beliau mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Israel ke atas bumi Palestin. Dan lebih tidak hairan lagi, bila beliau meninggalkan pertubuhan UMNO dan menyertai PAS pada tahun 1955 di bawah pimpinan Dr Abbas Alias.

Beliau meninggalkan UMNO setelah melihat dan mengkaji politik tanah air berikutan dengan langkah UMNO bergabung dengan MCA, seterusnya dengan MIC dalam Parti Perikatan. Beliau kembali ke tanah air pada tahun 1952.

Kebangkitan PAS akan teruji lagi dengan kedatangan pilihan raya umum pertama yang diadakan di Malaya. Ujian yang akan menambahkan kematangan dan kemantapan dalam mengharungi perjuangan seterusnya.

PAS di bawah pimpinan Dr Abbas berjalan terus….

Rujukan:

1.Utusan Melayu keluaran 20 Mac 1954

2.Warta Jabatan Agama Islam Johor.

3. Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan (1992), Laporan Tahunan 1991/1992 untuk Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-38, Kota Bharu.

Tuesday, May 18, 2010

Monday, May 17, 2010

khas untuk...

Hijjaz

Rindu

Rindu itu adalah
Anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani
Punyai rasa rindu

Rindu pada kedamaian
Rindu pada ketenangan
Rindukan kesejahteraan
Dan juga kebahagiaan

Orang-orang yang bertaqwa
Rindu akan kebenaran
Kejujuran dan keikhlasan
Keredhaan Tuhannya

Orang mukmin merindukan
Anak-anak yang soleh
Isteri yang solehah
Keluarga bahagia
Para pencinta kebenaran

Rindukan suasana
Masyarakat yang terjalin
Aman dan sejahtera
Merindukan tertegaknya
Kalimah Allah di muka bumi
Dan dalam merindukannya
Keampunan Tuhannya

Dan seluruh umat itu
Merindukan cahaya
Yang menyinari kehidupan
Rindu pada Tuhan

Sumbangan Nazreeni Hanim

Sunday, May 2, 2010

IBNU HASYIM: FOKUS PAS SIRI 6, BERSAMA KEBANGKITAN ISLAM

KEBANGKITAN Islam telah meletus bersama-sama kebangkitan PAS. Melihat peringkat awal kebangkitan PAS ini, maka difokuskan kepada dua perkara:


Pertama:


Melihat kepada latarbelakang keIslaman tokoh dan peranan individu-individu waktu penubuhan parti tersebut. Mereka adalah individu kumpulan atau parti Islam sebelum tertubuhnya Parti Islam Se Malaysia atau PAS. Yakni individu-individu perjuangan dan pergerakan PAS yang sama dengan Hizbul Muslimin atau yang sebelumnya, hatta di seluruh dunia sekalipun.


Kedua:


Dalam arus kebangkitan tersebut, berlaku proses penapisan dan pembersihan dalam wadah perjuangannya. Proses tersebut berlaku mungkin kerana ‘salah langkah’, atau ‘terpengaruh’, ataupun kerana ‘tidak meletakkan Islam sebagai asas perjuangan parti’ oleh pemimpin-pemimpin dan pendukung-pendukungnya. (Walaupun sebenarnya perjuangan tersebut sudah jelas tercatat di kertas perlembagaan).

Mari kita lihat individu-individu yang hadir dalam Muktamar Penubuhan PAS di Kelab Melayu Bagan, Butterworth Seberang Prai tersebut. Jumlah kehadiranya kira-kira 200 ke 230, lelaki dan wanita, termasuk pemerhati, seperti yang dicatatkan oleh Utusan Melayu 25 November dan Warta Negara 26 November 1951.

Ustaz Uthman Hamzah dalam ‘Risalah cenderamata sempena Muktamar Agung PAS ke 38’ pada 10-12 April 1987 menyinaraikan persatuan-persatuan yang hadir:

1.Persatuan guru-guru agama, Perlis.
2.Persatuan ulama, Kedah.
3.Persatuan Anak-anak Rakyat Kalimantan Malaya (PERKAM) Perak.
4.Kelab Darul Ehsan, Selangor.
5.Kelab Melayu Bagan, Seberang Perai.
6.Persatuan al-Ehya As-Syariff, Gunong Semanggol, Perak.
7.Perikatan Melayu Bersatu, Seberang Perai dan Pulau Pinang.
8.Dan lain-lain badan kebajikan, kelab atau jamaah terutamanya dari Seberang Perai dan Pulau Pinang. Juga hadir sama beberapa orang Tuan Guru, wartawan, imam dan kadhi atas nama peribadi.

Menurut Ustaz Uthman lagi, wakil Persatuan Anak-anak Kalimantan Malaya, Perak, ialah Ustaz Ahmad Azam. Ia pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang pertama, dan pernah ditugaskan ke Terengganu sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu, yang berperanan sehingga berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya kebangsaan 1959. Kini beliau tinggal di Selangor dan masih aktif dalam Persatuan Ulama Malaysia (iaitu sehingga buku ini ditulis cetakan pertama1993).

Juga turut bersama dalam Muktamar Penubuhan PAS itu ialah Ustaz Baharudin Latif. Beliau abang kepada Haji Subky Latif penulis politik tanah air yang dikenali ramai. Ustaz Baharudin dilahirkan pada tahun 1927 di Setiawan, Perak, adalah bekas penuntut Maahad Ihya Al-Syarif Gunung Semanggul. Beliau bergiat dalam politik sejak tahun 1945 di dalam PKMM, API dan GPMS (Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung), bersama-sama Allahyarham Aminuddin Baki, Tan Sri Abdullah Ayub dan Allahyarham Datuk Ali Haji Ahmad. Dalam PAS, beliau pernah memegang jawatan AJK(ahli jawatankuasa agung) antara 1956 hingga 1987.

Pernah menjadi Setiausaha Agung, Bendahari, Setiausaha dan Ketua Penerangan, pengarang suara resmi PAS ‘Bulan Bintang’ dan ‘Berita PAS’, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri Perak atas tiket PAS 1959-1964 dan 1974-1978. Pada Disember 1956, beliau adalah Naib Ketua Pemuda PAS yang menghadiahkan Al-Quran dan buku undang-undang tubuh PAS kepada Dr Burhanuddin Al-Helmi yang dipilih sebagai YDP PAS yang ke 3. (Dikatakan sebuah simbolik supaya YDP yang baru dalam PAS itu tidak lari dari perjuangan Al-Quran dan Hadith seperti yang diperjuangkan oleh PAS).Beliau masih aktif dalam PAS hingga meninggal dunia pada 11 Disember 2001.

Di bawah pimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad, banyak cawangan-cawangan PAS ditubuhkan. Antaranya cawangan pertama ditubuhkan, iaitu di Butterworth, Pulau Pinang pada 9 Mac 1952. Ketuanya adalah Haji Ibrahim Aqibi. Cawangan kedua pula ditubuhkan di Kuala Kangsar, Perak, pada 10 April 1952, diketuai oleh seorang tuan guru pondok iaitu Haji Abdul Samad Noh. Diikuti pula oleh cawangan Parit Buntar , Perak pada 6 Julai 1952.

Sebelum itu, cawangan yang pertama di Perlis, ditubuhkan pada 2 Mei 1952 di Bangunan Sekolah Melayu Perempuan, Kangar. Cawangan Kuala Lumpur pula diketuai oleh Haji Mas’ud Hayati bersama 40 ahli yang hadir, ditubuhkan pada 13 Julai 1952. Sehingga Disember 1952, PAS telah berjaya menubuhkan sebanyak 16 cawangan di Tanah Melayu dan Singapura.

Amaluddin Darus dan Ahmad Yatim telah menubuhkan cawangan pertama Pantai Timur Semenanjung, iaitu di Pasir Mas, Kelantan pada 23 Julai 1953. Omar Yusuf seorang saudagar getah di Pasir Mas menjadi ketua dan Amaluddin Darus sendiri menjadi Setiausahanya. Seramai 60 orang penduduk pekan tersebut menjadi ahlinya. Diikuti pula oleh cawangan kedua di Kelantan, iaitu cawangan Macang, dipimpin oleh Tuan Haji Muhammad Nor bin Haji Yusuf.

Berikut adalah dinukilkan catatan Amaluddin Darus di dalam bukunya ‘Kenapa Saya Tinggalkan PAS’ (1977) terbitan Harimau Press Sdn Bhd., Kuala Lumpur, dalam usaha mengembangkan PAS di Kelantan.

‘Menerusi saudara Ahmad Yatim, saya diminta memberi penerangan di Masjid Repek, kira-kira tiga batu dari Pasir Mas. Saya pergi ke sana dan menemui imam, dan dibenarkan saya memberi penerangan selepas sembahyang Jumaat. Saya tidak tahu siapakah yang meminta saya bersyarah di sana. Saya pergi bersendirian, dan bersyarah di sana. Orang-orang mendengar penerangan saya dan kemudian bersurai. Tidak ada seorang pun pedulikan saya.

Saya keluar dari Masjid setelah bersalaman dengan imam lalu menuju ke sebuah kedai kopi, kerana perut telah terasa kosong benar.

Saya meminta se cawan teh dan memakan kueh, sambil tunduk memikirkan bagaimana sambutan yang saya terima. Dalam hati saya mengatakan bahawa apa yang terjadi kepada saya juga pernah terjadi kepada hamba-hamba Allah yang lain. Atas apa-apa hal pun, saya telah melaksanakan tugas dan kewajiban saya. Se moga ini semua tidak akan disia-siakan oleh Allah.

Dalam keadaan begitu tiba-tiba satu suara mengejutkan saya. Suara itu dari seorang muda yang sedang berdiri sambil menarik kerusi. "Huh!” katanya, "Boleh saya tanya sikit?".

Saya merenung pemuda ini dan mempersilakan dia membuat pertanyaan. "Demo yang bersyarah tadi. Demo ingat bila PAS boleh menang nak perintah Kelantan?"
Saya tersenyum kepadanya.

Dia mengulang lagi, "Bila PAS boleh perintah Kelantan?".

“Kata saya, perjuangan ini seperti kita bertanam padi, Kita membuka hutan, menebang, membakar, membuat batas, mencedung atau menanam, menaruh baja, menghalau burung dan babi, itulah kerja kita, tetapi menggantung buah padi itu adalah urusan Allah sendiri dan bukannya urusan saya. Bagaimanapun pada hemat saya apabila sahaja Tok guru-tok guru di Kelantan membuka mata melihat perjuangan PAS ini, maka pada waktu itulah PAS menang dan insya Allah akan memerintah negeri Kelatan ini.”

Beliau mengucapkan terima kasih, dan mengatakan tidak perlu bayar harga teh dan kueh itu. Dia adalah anak dari tuan punya kedai itu barangkali. Beberapa hari setelah pilihan raya tahun 1959, di mana PAS menang 28 dari 30 kerusi negeri Kelantan, pemuda ini yang namanya saya tidak ingat telah bertemu dengan saya di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu. Beliau memanggil saya dan berjabat tangan sambil mengingatkan kepada saya apa yang telah saya terangkan kepadanya pada tahun 1953 dahulu.

Katanya, "Apa yang ustaz kata dulu memang betul. Saya masa itu adalah seorang pemuda UMNO dan mulai tahun 1958 saya telah menyokong PAS”

Begitulah kisah kemasukan PAS di Kelantan oleh Amaluddin Darus.

Penubuhan PAS di Kelantan sebenarnya bertitik tolak daripada pelbagai faktor. Asas berpolitik yang dibina dalam tahun-tahun 1920an oleh Datuk Perdana Menteri Haji Mahmood bin Ismail, Tok Kenali atau Haji Muhammad Yusoff bin Ahmad, Haji Muhammad bin Muhammad Said dan lain-lain sangat berperanan dalam membuka hati rakyat menyambut dan menyokong parti politik yang selari dengan pemikiran mereka. Memenuhi tuntutan inilah, PAS muncul sebagai parti yang memperjuangkan ‘survival’ politik di Kelantan.( Sumber: ‘Majalah Dunia Islam’ Ogos 1991, Penerbitan Zin, Kuala Lumpur.& Alias Muhammad (1984), ‘Kelantan di Bawah PAS, Masalah Tanah dan Rasuah’, Terbitan Insular Publishing House Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.)

Sementara dalam konteks lain, Amaluddin Darus membayangkan terdapat faktor lain yang menggerakkan tokoh-tokoh tempatan menubuhkan PAS:

"Muhammad Asri, Hasan dan Abdul Rahim adalah kawan lama, dan mereka adalah pemuda-pemuda dari API atau Angkatan Pemuda Insaf. Saya berkenalan dengan Hasan dan Abdul Rahim setelah API diharamkan, di mana banyak daripada mereka di Kelantan telah ditangkap oleh British bersama-sama pemimpin-pemimpin PKMM atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Di antara pemimpin-pemimpin API itu, ada juga yang cerdik dan melarikan diri dari Kelantan. Bila Muhammad Asri kembali ke Kelantan dan bertemu dengan teman-teman se perjuangannya, mereka berbincang hebat mengenai politik. Cara berfikir, Hasan dan Abdul Rahim masih sama seperti dulu, ke kiri. Selalunya radikal dan progresif. Tetapi cara berfikir Muhammad Asri sekarang telah berubah. Beliau memandang politik nasional dengan kacamata Islam”

Walau apapun, faktor sebenar PAS cepat bertapak dan berkembang di Kelantan adalah hakikatnya kerana arus perjuangan Islam telah lama bertapak di kalangan tokoh tempatan khususnya di sekitar Kota Bharu. Pengaruh perjuangan Islam tersebut telah dibawa oleh beberapa pimpinan Masyumi Indonesia yang datang menetap dan melawat Kelantan. Di antara mereka yang dimaksudkan ialah Tamee @ Bustamin bin Ismail yang telah datang menetap di Kelantan sejak tahun 1932.

Beliau dilahirkan di Bukit Tinggi Sumatera Barat. Di Kota Bharu, beliau telah membuka perniagaan restoran menyedia menu masakan ala Sumatera. Beliau telah bersahabat baik dengan Mohd Daud bin Salleh seorang penulis petisyen bertauliah di Kota Bharu. Mohd Daud adalah seorang yang meminati dan menghayati perjuangan Islam Masyumi. Semasa PAS ditubuhkan tahun 1951, berita itu cepat sampai ke pengetahuan Bustamin dan Mohd Daud.

Mereka mendapat maklumat daripada beberapa rakan dan individu tertentu di Perak, khususnya melalui Khaidir Khatib yang asalnya dari Sumatera juga sedang mengajar agama di Maahad Ehya Al-Syariff Gunung Semanggol. Pada masa itu, Dato' Mohd Asri yang aktif dalam API telah berpindah ke Perak lebih awal untuk mengelak dari diburu oleh pihak berkuasa dan berkahwin dengan Ustazah Sakinah anak kepada Haji Joned, salah seorang guru di Ehya Al-Syariff yang berasal dari Sumatera.

Pada masa di Ehya Al-Syariff itulah Dato' Mohd Asri telah mula memahami perjuangan Islam dan kemudian bekerja dengan pejabat PAS di Kepala Batas, Seberang Prai selepas PAS ditubuhkan. Dato' Mohd Asri adalah adik ipar kepada Mohd Daud. Dengan sokongan moral dan kewangan dari Mohd Daud dan Bustamin, beberapa rakan turut sama mengadakan ceramah mengembangkan PAS di sekitar Kota Bharu. Sehingga mereka berjaya menubuhkan ranting PAS pertama di Kota Bharu dalam tahun 1952.

Di antara tokoh yang bersama-sama Mohd Daud dan Bustamin ialah Mohd Amin bin Yaakob (pembantu Mohd Daud), Ishak Lotfi bin Omar (anak tiri Mohd Daud/pegawai Majlis Agama) dan Abdul Rahman Sulong (imam di Dewan Beta)

Demikian hasil dari temubual dengan Tuan Haji Mohd Amin bin Yaakob, seorang pengasas PAS di Bachok di rumahnya pada 16 Disember 1997 dan temubual dengan Armin anak ketiga (bongsu) Bustamin bin Ismail, di restorannya di Kota Bharu pada 17 Disember 1997, restoran yang ada adalah peninggalan Bustamin yang sekarang diuruskan oleh Armin. Bustamin meninggal dunia pada tahun 1981, mempunyai tiga anak Tamerin @ Tamberin, Salmah dan Armin.

Seperti disebutkan, PAS cawangan pertama (sekarang ini dikenali sebagai PAS Kawasan) di Kelantan mula-mula sekali ditubuhkan atas usaha Amaluddin Darus, Omar bin Yusuf, Ustaz Abdullah Ahmad dan lain-lain. Medan pertama PAS ialah di Pasir Mas yang ditubuhkan secara rasmi pada 23 Julai 1953. Berteraskan perjuangan Islam, PAS berjaya menarik golongan yang benar-benar cintakan Islam seperti para ulama', ustaz-ustaz dan pelbagai lapisan masyarakat. (Alias Muhammad (1994), PAS ‘Platform: Development and Change 1951 – 1986’, Gateway Publisihing House Sdn. Bhd., Petaling Jaya. lihat juga, Amalauddin Darus.)

Melihatkan kejayaan cawangan Pasir Mas, tokoh-tokoh awal seperti Amaluddin Darus, Ahmad bin Yatim dan Mohd Noor bin Senik terus menyebarkan PAS ke seluruh negeri Kelantan dengan berbagai cara termasuklah dengan cara berbual di kedai kopi. Kesempatan berbual di kedai kopi dimanfaatkan dengan memperkenalkan dasar perjuangan PAS. (Lihat Faridah Bt Ali (1974), ‘Sejarah Awal Perkembangan PAS di Kelantan 1953-1959’, dalam JEBAT, Journal Jabatan Sejarah UKM, Bangi.

Cawangan kedua PAS ialah di Machang pada 21 September 1953 dan orang yang bertanggungjawab membawa PAS ke Machang ialah Haji Muhammad Nor bin Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Haji Mohd Nor Machang. Selepas cawangan Machang, PAS berjaya menubuhkan rantingnya di Tanah Merah dan diikuti dengan Kota Bharu dan Pasir Puteh pada tahun 1954. PAS dikatakan berkembang pesat setelah kepulangan Mohamad Asri Haji Muda dibantu oleh Ishak Lotfi Omar anak saudaranya dan Ustaz Othman Abdullah, Ketua Pemuda PAS, di samping seorang tokoh tempatan dari Pasir Puteh, Ustaz Haji Adam Kamil.

Hasilnya PAS telah berkembang sebagai cawangan di Tanah Merah (1955), Bachok (1956), Kuala Krai (1958) dan Tumpat (1959).

Banyak jasa-jasa dan pengorbananTuan Haji Ahmad Fuad yang dicurahkan kepada persatuan yang ia sama-sama bina, taja, tubuh dan sama-sama memimpinnya. Beliau telah pergi, namun perjuangan akan tetap berjalan terus. Fajar kebangkitan Islam akan tetap selalu menyinsing, walaupun kadang-kadang dilindungi oleh awan hitam yang berarak.

Boleh dibuat kesimpulan, sejak dari kegiatannya peringkat awal penubuhan penaja pada Februari 1950 di Muar, hingga tertubuhnya PAS di Kelab Melayu Bagan Butterworth Ogos 1951, dan terus mengembangkan sayap pengaruhnya dari Perlis ke Singapura, dari pantai barat ke pantai timur Semenanjung Tanah Melayu adalah satu kejayaan dan kemenangan yang besar.

Itulah era kabangkitan PAS pertama. Walaupun Tuan Haji Ahmad Fuad melepaskan jawatan, namun yang patah tetap akan tumbuh semula, yang hilang akan berganti. Jawatannya di pangku oleh Dr Haji Abbas Alias.


Rujukan:


1.Utusan Melayu 25 November dan Warta Negara 26 November 1951.

2.Risalah cenderamata sempena Muktamar Agung PAS ke 38.10-12 April 1987

3.Amaluddin Darus. Kenapa Saya Tinggalkan PAS (1977) terbitan Harimau Press Sdn Bhd., Kuala Lumpur.

4.Alias Muhammad (1994), PAS Platform: Development and Change 1951 – 1986, Gateway Publisihing House Sdn. Bhd., Petaling Jaya.

5.Faridah Bt Ali (1974), Sejarah Awal Perkembangan PAS di Kelantan 1953-1959, dalam JEBAT, Journal Jabatan Sejarah UKM, Bangi.