Tuesday, April 6, 2010

Sejarah PAS 3


TERSIRAT lawannya tersurat. Tersirat, ertinya perkara yang tidak nampak pada pandangan lahiriah, berbanding tersurat pula, ialah perkara yang jelas nampak pada mata kasar secara lahiriah. Hal itulah yang dapat dilihat dalam tujuan dan matlamat penubuhan Persatuan Islam Se Malaya.


Yang tersurat pada pada persatuan tersebut ialah cita-cita yang tertera, tertulis dan diketengahkan untuk tatapan pengetahuan umum, yakni yang diberi dan dipersembahkan kepada Majlis Tertinggi UMNO. Mungkin diberi untuk mendapat persetujuan yang sesuai dengan selera UMNO sebagai anak didik penjajah British. Sebab itulah pada zahirnya persatuan ini hanya lebih bersifat badan kebajikan sahaja. Tidak ada politik-politik kepartian kononnya.


Antara matlamat-matlamat yang bersifat kebajikan itu ialah:


1.Untuk menyatupadukan seluruh orang Melayu tanpa mengira parti politik dan orang Islam rakyat Persekutuan dalam UMNO, atau di bawah naungan atau pimpinan UMNO.


2.Juga pertubuhan ini diharapkan akan dapat menjadi badan persediaan untuk mengganti UMNO yang mulai berjuang menuntut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, setelah tertolaknya Malayan Union seperti mana badan-badan politik lain. Ini adalah kerana mungkin UMNO juga akan diharamkan oleh pihak kerajaan Inggeris.


3.Pertubuhan ini juga diharapkan dapat membantu UMNO dalam perkara-perkara agama, terutama untuk menyatupadukan Majlis Agama Islam Negeri.


Matlamat yang tersurat ini, mungkin menggambarkan sifat tunduk ulama-ulama kapada Majlis Tertinggi UMNO yang boleh dicucuk hidungnya bagaikan kerbau-kerbau di sawah. Tetapi tokoh-tokoh politik Majlis Tertinggi UMNO itu lupa, bila mereka dekati konon untuk membelainya, belum pun sempat memegang atau merentap cucuk hidung, tiba-tiba tanduk-tanduk runcing kerbau tersebut sudah merembat, menusuk masuk, menembusi dan memburaikan isi perut mereka tanpa sedar walaupun tidak membawa maut. Rupanya mereka bukanlah kerbau-kerbau yang dicucuk hidung!


Maka dengan adanya persatuan ulama itu, sekurang-kurangnya dapat menjadi kumpulan yang pendesak, penuntut, pemujuk atau pengimbang, supaya tidak berleluasanya kemungkaran dalam masyarakat. Samada kemungkaran politik atau luar politik, dan dalam parti atau luar parti itu. Inilah rembatan jalan lembut yang tersirat!!


Yang tersirat inilah yang di dalam perancangan ulama-ulama. Matlamat yang tidak dizahirkan dan cita-cita yang tidak ditonjolkan...yang menjadi srategi mereka. Apakah matlamat itu?


Pada hemat penulis, ulama-ulama ini merasa khuatir dan bimbang dengan tindak tanduk perjalanan UMNO pada waktu itu. Cakap-cakap dan tindakan pemimpin yang kadang-kadang bercanggah dengan Islam dan aqidah. Contohnya, masalah halalkan judi seperti yang disebutkan. Kejahilan merendahkan hukum agama ini akan menjadi virus yang terus merebak ke bidang-bidang agama yang lain. Misalnya menjelang merdeka, bebasnya minum arak hingga benarkan wujudnya kilang arak.


Berkembangnya faham sekularisme (agama tak boleh campur politik). Hina hukum hudud dan Agama Islam. (Kata-kata: Nanti habis batu-batu jalan, kerana nak laksanakan hudud! Kalau ikut agama bila kita nak maju? Macam mana nak hidup, kalau itu haram, ini haram? Dan seumpamanya.) Tidak mencegah mungkar, walaupun kadang-kadang buat baik. Dan sebagainya.


Mengenai sekularisme atau pemisahan agama dengan politik, berterusan menjadi pemisahan antara politik Islam dengan politik kufur atau bukan Islam. Bagi golongan agama ini, UMNO sudah mula menampakkan pekungnya ke arah politik yang bukan Islam. Bahkan UMNO tidak mempunyai cita-cita langsung untuk mewujudkan sebuah negara Islam berdasarkan Al-Qur’an dan Hadith bila merdeka kelak. Apabila hal ini berlaku, taraf ulama sama sahaja seperti di zaman penjajahan, tiada kuasa politik apa-apa.


Ulama hanya jadi tukang angguk, dan baca doa selamat untuk majlis-majlis keraian sahaja, walaupun kadang-kadang ada perkara maksiat di dalamnya. Ulama-ulama hanya jadi tukang baca khutbah (macam mesin penyalin) bukan berkhutbah. Ulama-ulama hanya pandai puji jamban dan tiang letrik (pembangunan pemerintah) dalam khutbah bukan mengislah pemerintah, atau hanya mengajar hukum mandi junub sahaja (bukan hal-hal yang menyentuh pemerintahan dan politik negara).


Mereka sedar hal-hal seperti inilah yang membekukan dan menjumudkan lagi pemikiran ulama-ulama. Mungkin inilah strategi penjajah British memandul dan mengkebirikan pengkayaan pemikiran ulama. Sebenarnya kuasa politik Islam inilah yang ulama-ulama mahukan. Kuasa mentadbir bukan ditadbir. Kuasa memerintah bukan diperintah atau di arah. Kerana Islam itulah sahaja yang paling tinggi, yang lain semua rendah belaka. Sesudah tiada pilihan lagi kerana Hizbul Muslimin diharamkan. Apalagi di saat yang sebelumnya dikatakan ‘perlu bersatu untuk mencapai kemerdekaan’.


Mungkin juga mereka merasakan, satu masa nanti politik Islam dan politik kufur akan bertembung. Bagaikan minyak dengan air, akhirnya akan berpisah atau terpisah. Politik yang tidak diasaskan oleh Al-Qur’an dan Hadith sebagai batu asas atau sauhnya, pasti akan mudah terseret atau diheret oleh air atau banjir yang melanda. Oleh itu tidak hairan bila akhirnya UMNO menjadi parti kebangsaan, asabiah atau pragmatis, walaupun selepas merdeka.


Mereka lupa kata pemimpin mereka selepas baru merdeka dulu mengenai tuntutan perlaksanaan negara Islam, jawabnya, “Mereka (yang bukan Islam) sikit, kita ramai. Kita boleh buat (negara Islam) bila-bila masa sahaja, nak takut apa? ..sabarlah!” Lepas merdeka, setelah berlaku penggabungan dengan Sabah dan Sarawak, bila ditanya perkara yang sama, pemimpin itu juga berkata, “Kita tidak boleh buat, kerana mereka (yang bukan Islam) juga ramai.. Kita kena tanya pendapat mereka dulu.” Orang bukan Islam jadi alasan. Bila lagi nak laksanakan Islam dalam pemerintahan? Nak tunggu orang Islam tak ada?


Mereka yakin pertembungan seperti ini akan berlaku, dan kalau berlaku mereka terpaksa berpisah juga akhirnya. Mereka terpaksa berpisah dengan induknya. Bunga-bunga pertembungan ini sudah menampakkan buahnya pada masa itu. Jika ini berlaku mereka akan beropersi mengikut peraturan dan perlembagaan masing-masing. Mereka pasti akan mengucapkan, selamat tinggal UMNO! Bukan lagi as-salamu ‘alaikum..


Inilah jalan yang patut mereka lalui setelah jalan pertama dan lembut tertutup. Inilah tikaman tanduk runcing tersirat dibalik yang tersurat... Yang tidak difahami oleh UMNO dengan mempermain-main ulama waktu itu.


Rujukan:

Hasil dari interbiaw penulis dengan Pegawai-pegawan Pejabat Agung PAS, Ustaz Amaluddin Darus, Ustaz Osman Hamzah, Ustaz Baharuddin Latif, Ustazah Hayati dan lain-lain sekitar tahun-tahun 80an.

No comments: