BNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS siri 4
PADA 23 Ogos 1951, adalah hari perasmian penubuhan Persatuan Ulama Se Malaya di Bangunan Kelab Melayu Bagan, Butterworth. Setelah masing-masing setuju penubuhannya, undang-undang tubuhpun dibahas untuk disahkan.
Seorang perwakilan dari Persatuan Al-Ihya Al-Syarif, Gunung Semanggul Perak, membahas nama yang tertera di rangka undang-undang tubuh tersebut. Beliau adalah Ustaz Uthman Hamzah bekas anggota Hizbul Muslimin dahulu. Beliau mencadangkan nama Persatuan Ulama Se Malaya dipinda kepada Persatuan Islam Se Malaya, atau sebutan ringkasnya PAS.
Alasannya, kerana ahli-ahlinya terbuka kepada umum, yakni orang-orang Islam yang akil baligh (tidak semestinya ulama) dan beberapa alasan lain. Beliau, meragui penyertaan ulama yang kurang memuaskan. Cadangannya tidak diterima oleh jawatankuasa penaja dan Puan Dasimah Dasir yang mewakili Kaum Ibu UMNO, terus menjadi perbahasan. Pengerusi waktu itu adalah Haji Mohd Ghazali Abdullah, yang menghadkan kepada tiga nama sahaja untuk diundi.
Iaitu :
i.Persatuan Islam Se Malaya (PAS) yang mendapat undi sebulat suara.
ii.Persatuan Ulama Se Malaya.
iii.Persatuan Muslimin Tanahair (PERMATA) atau Pertubuhan Islam Malaya (PERTAMA).
Maka PAS ditubuhkan hasil dari muktamar tersebut. Alamat pejabatnya waktu itu: No 721, Kepala Batas, Seberang Prai.
Tujuan-tujuan awalnya ialah:
1.Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.
2.Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
3.Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
4.Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran-ajaran agama Islam di dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.
5.
‘Pegawai-pegawai persatuan’ atau pimpinannya terdiri dari;
i.Seorang Yang Di Pertua.
ii.Seorang Timbalan Yang Di Pertua.
iii.3 orang Naib Yang Di Pertua.
iv.Seorang Setiausaha Agung.
v.Seorang Bendahari
vi.12 Ahli Jawatankuasa. Mereka hendaklah dipilih dan dilantik dalam mesyuarat agung, kecuali 1/3 dari ahli jawatankuasa hendaklah dilantik oleh Yang Di Pertua.
Jawatan mereka hanya setahun, iaitu hingga bertemu mesyuarat agung tahun hadapan. Tugas-tugas dan kewajipan juga terdapat dalam undang-undang tubuh Persatuan Islam Se Malaya tersebut.
Antara barisan kepimpinan pertama yang dilantik menerajui PAS termasuklah:
1.Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan - Yang Dipertua Agung
2.Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Timbalan Yang Dipertua Agung
3.Tuan Haji Hussin Che Dol - Naib Yang Dipertua Agung (Utara)
4.Fakir Muhammad Nor - Naib Yang Dipertua Agung (Tengah)
5.Abdul Rahman Jamaluddin al-Jambuli - Naib Yang Dipertua Agung (Selatan).
6.Tuan Haji Ahmad Maliki - Setiausaha Agung
7.Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein – Bendahari.
8.
Ahli Jawatankuasa pula terdiri daripada:
1.Tuan Haji Yahya Joned
2.Tuan Haji Uthman Talib
3.Tuan Haji Mohammad Nor
4.Tuan Haji Zabidi Ali
5.Tuan Haji Abdul Wahab
6.Tuan Haji Assaiya
7.Muhammad Mahzub
8.Tuan Haji Ahmad Nadur.
Permohonan pendaftarannya dibuat di pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaya, di Pulau Pinang. Apabila hampir pilihan raya kebangsaan 1955, barulah kelulusannya didapati, iaitu pada 31 Mei 1955. Registration no 773 (Penang). Rujukan kelulusan pendaftarannya 34 in R. of. S 26/52.
Perkataan ‘Siasah’ dalam undang-undang tubuh atau dasar PAS yang tercatat pada tujuan-tujuan ia ditubuhkan sudah menjadi perkataan agung dan berkuasa. Berkuasa membebaskan PAS sebagai pertubuhan yang berdiri sendiri dan mempunyai power. Berkuasa memisahkan parti Islam itu dari belenggu pemimpin-pemimpin UMNO yang memisahkan politik dengan agama Islam. Berkuasa tidak tunduk dan berlutut di bawah pimpinan yang berfaham seperti penjajah di negara ini.
Mereka yang berfaham sempit tentang agama, meletakkan atau menendang agama ke sudut ibadat khususiah semata-mata. Beragama hanya di surau-surau, masjid, pondok pengajian tidak di parlimen, atau mercu pemerintahan dan kekuasaan. Di katakana perjuangan PAS adalah kesinambungan dari perjuangan Rasul dan Nabi-nabi, adalah kerana perjuangan itu meletakkan hukum Allah SWT ditempat yang paling tinggi sekali di atas kekuasaan yang lain.
Allah dan hukumNya sahaja yang Maha Besar, yang lain semuanya kecil belaka. Al-Qur’an dan hukumNya saja yang Maha Tinggi, perlembagaan lain yang bercanggah dengannya, secara tersendiri terbatal dan rendah belaka. Rasulullah SAW meletakkan Al-Qur’an di mercu perlembagaan Madinah mengatasi hukum-hukum jahiliah lain, termasuk hukum-hukum Yahudi dan Kristen.
Dikatakan juga ajaran pemisahan agama dengan politik yang ketinggalan zaman sejak 2,000 tahun dahulu, telah dibawa semula oleh penjajah Inggeris ke Tanah Melayu adalah berasal dari ajaran Kristen. Ini disebut dalam Injil Mathew 21/22 berbunyi:
“Biarkan hak (urusan) maharaja bagi maharaja, dan hak Allah bagi Allah.”
Bagi agama Kristen, hak atau urusan maharaja dan pemerintah tidak boleh dicampuradukkan, atau disamakan dengan hak Allah atau hukum-hukum agama. Maka hampir seluruh pelusuk dunia, masyarakat umat yang dikatakan Islam telah diracuni dan diresapi oleh wabak sekularisme atau faham ‘agama lain politik lain’ atau ‘agama suku politik suku’ ini. Faham tigasuku (tak lengkap) ini, membuat mereka keliru makna agama yang sebenarnya.
Makna ‘agama’ sebenarnya berasal dari bahasa Arab iaitu ‘ad-deen’. Semata-mata dari segi bahasa ertinya;
“Penyembahan, pengabdian kepada Allah atau kepada kekuasaan yang Agung.” – Jabran Masud, Al-Raaid, Darul malaiien, Beirut, ms 688.
Dari segi istilah pula bermaksud;
“Pegangan yang lengkap sempurana(complete), merangkumi jurusan-jurusan ibadat, panduan hidup, dan lain-lain perkara yang boleh menjamin wujudnya perkara-perkara tersebut.” – Said Hawwa, Al-Islam Juzuk 1 ms 13.
‘Pegangan’ yang dimaksudkan di sini ialah aqidah. Aqidah bermaksud apa yang termasuk di bawahnya; Beriman dengan Allah, malaikat, kitab, rasul, hari kemudian dan percaya kepada qadak dan qadar.
‘Ibadat’ yang disebutkan di atas pula, ialah yang termasuk di bawahnya: Menyebutkan dua kalimah syahadat, sembahyang, puasa, zakat dan tunaikan haji di Makkah.
‘Panduan Hidup’ atau manhaj hayat pula, adalah termasuk di bawahnya: Sistem politik, sistem ekonomi, sistem ketenteraan, sistem pelajaran, sistem pembentukan akhlak dan sistem pergaulan.
‘Lain-lain Perkara’ atau muaidad adalah termasuk di bawahnya; Berjihad, melakukan perkara kebaikan (maaruf), mencegah perkara jahat (mungkar), hukuman dan siksaan.
Jadi, makna agama itu amatlah luas ruang lingkupnya, meliputi seluruh cara dan bidang kehidupan atau way of life yang lengkap sempurna, bermula dengan Kalimah Agung Tertinggi ‘La Ilaha Illallah’ yang sebesar-besarnya, hingga sekecil-kecilnya, membuang duri halus bagi memudahkan orang lalulalang di jalan. Apa lagi masalah kepimpinan, kenegaraan, pemerintahan, politik atau siasah??
Mari kita lihat apa makna siasah atau politik…
Menurut Ahmad Atiatullah di dalam ‘Al-Kamus Al-Siasi’ Darul Nahdhat Al-Arabiah, halaman 661. Siasah ertinya;
“Hal ehwal pentadbiran Negara atau usaha kea rah mendapatkan kekuasaan untuk memerintah.”
Dalam kefahaman yang lain, siasah bererti;
“Mengurus pemimpin umat dan mengambil berat (bertanggung jawab) mengenai urusan mereka.” - Jabran Masud, Al-Raaid, Darul Malaiien, Beirut, ms 795.
Jadi, perkataan ‘siasah’ dalam undang-undang tubuh PAS yang diluluskan di dalam muktamar tersebut, bukan sahaja satu siasah untuk berpisah dengan pertubuhan politik UMNO yang tidak Islamik itu, tetapi kesannya adalah sebagai suatu siasah pengumuman dan pengisytiharan kepada rakyat Malaya waktu itu, kepada yang Islam atau bukan Islam, yang faham Islam atau tidak faham Islam, yang sekularisme atau materialisme, bahawa di dalam Islam itu ada politik.
Lebih-lebih lagi apabila PAS menyertai pertandingan dalam pilihan raya umum yang pertama tahun 1955 sebelum merdeka. Sehingga berkatalah penulis-penulis politik.
“Sebuah parti politik bernama Persatuan Islam Se Malaya telah muncul.” - N.J. Funston.
“Ia adalah parti politik Islam yang kedua tertubuh dalam sejarah politik negara.” – Amaluddin Darus.
Malang bagi pemimpin-pemimpin yang buta siasah, menganggap siasah hanya barang lapuk dari agama yang bukan dari politik mereka. Tapi mereka lalai, akhirnya mereka mula dihantui atau ditakuti oleh bayang-bayang siasah yang mula bersiasah…
Rujukan:
1.Ahmad Atiatullah, Al-Kamus Al-Siasi’ Darul Nahdhat Al-Arabiah, halaman 661.
2.Jabran Masud, Al-Raaid, Darul malaiien, Beirut, ms 688.
3.N.J. Funston -Malay Politics In Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur.
4.Said Hawwa, Al-Islam Juzuk 1 ms 13
5.Hasil dari interbiaw penulis dengan Pegawai-pegawan Pejabat Agung PAS, Ustaz Amaluddin Darus, Ustaz Osman Hamzah, Ustaz Baharuddin Latif, Ustazah Hayati dan lain-lain sekitar tahun-tahun 80an.
No comments:
Post a Comment