Tuesday, August 24, 2010

SIRI 8, SEJARAH PAS : MULA DENGAN TANGAN TERBUKA

IBNU HASYIM: FOKUS PAS SIRI 8

TANGAN terbuka. Atau tapak tangan, mempunyai lima jari yang sedang terbuka. Itulah lambang atau simbol PAS yang mula-mula digunakan bagi menghadapi pilihanraya persekutuan pertama, pada 27 Jun 1955.

Lawan-lawan PAS menggunakan symbol ini untuk menakut-nakutkan pengundi-pengundi. “PAS mahu potong tangan orang ramai.” Kata mereka. Yakni, kalau PAS berjaya perintah negara ini, ia akan laksanakan hukum ‘hudud’ yang termasuk di dalamnya potong tangan bagi pencuri, penyamun atau perompak. Mereka gambarkan hukum Islam itu begitu ngeri, zalim dan kejam.

Pada hal, ianya hanya secebis dari sistem perundangan Islam, yang bersifat mengubati penyakit masyarakat. Contohnya seperti kerat kaki pada pesakit kencing manis. Begitulah hudud, kerat tangan pencuri, ‘rajam’ atau sebat pada penzina apabila cukup syarat-syarat yang begitu ketat.

Ada juga yang menganggap, lambang ini hampir menyamai tujuan PKMM, yakni mengangkat tangan, menggenggam lima jari, jadi gumpalan penumbuk, yang juga ada unsur-unsur Islam. Juga terdapat unsur-unsur menunjukkan orang Melayu bebas beragama Islam, bebas melaksanakan hukum serta perundangan Islam yang tidak dikongkong oleh penjajah.

Walau apapun tafsirannya, namun makna sebenar adalah simbol kepada amalan rukun Islam yang lima. Bermula dengan pengakuan kesatuan aqidah atau syahadah ‘Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh atau rasul Allah, yang di dalamnya ada enam rukun pula iaitu Rukun Iman. Seterusnya mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam, berpuasa wajib setahun sekali sepanjang Ramadzan, membayar zakat dan fitrah, serta mengerjakan haji sekali seumur hidup, jika mampu. Semuanya ini adalah asas ke arah menjadi seorang Muslim yang sejati.

Setelah itu lambang ini ditukar kepada lambang bulan bintang. Iaitu sebiji bintang lima penjuru, berada di atas hujung tanduk bulan sabit, di mana dua penjuru kakinya berada dalam lingkungan bulan dan tiga penjurunya lagi berada di bahagian atas luar lingkungan bulan sabit tersebut. Lambang ini juga terpaksa ditukar kerana diharamkan oleh pemerintah (zaman pemerintahan Tun Abdul Razak, iaitu pada tahun 1971), yang menuduh ‘menggunakan lambang Islam bagi mengelirukan orang ramai’.

Akhirnya, mengambanglah lambang bulan purnama penuh mengisi langit pilihan raya Malaysia. Ia mula digunakan dalam pilihan raya Tumpat Barat Kelantan hinggalah sekarang. Lambang tersebut ialah bulatan putih seperti bola pingpong yang bererti bulan purnama, dengan latar belakang warna hijau dan dalam keadaan tertentu boleh digunakan warna hitam.

Ukurannya seperti yang tercatat dalam ‘Perlembagaan PAS, pindaan 1987’, hendaklah 3x4 atau 3:4, iaitu 3 lintang dan 4 bujur. Boleh digunakan dalam inci, kaki, cm, meter, atau sistem ukuran-ukuran lain. Boleh juga digunakan apa-apa simbol yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan serta Suruhanjaya Pilihan Raya. Lambang-lambang tersebut adalah khusus bagi kegunaan pilihan raya dan manefestonya sahaja.

Bendera PAS pula berwarna merah putih. Warna merah terletak di atas warna putih yang sama lebarnya. Di pangkal sebelah kiri terletak satu bulatan hijau. Pada asalnya di dalam bulatan tersebut, tertera perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ dalam tulisan jawi berwarna putih. Dengan pengharaman seperti dikatakan di atas, ia tidak boleh digunakan lagi dan hanya tinggal bulatan hijau sahaja. Kekallah bendera PAS hampir sama dengan bendera UMNO, yang mana di sudut atas sang saka mereh putih tersebut terdapat bulatan hijau bagi PAS dan UMNO dengan lambang kerisnya.

Ukuran bendera juga adalah sebesar 5x7 atau 5:7, sama dengan ukuran inci, kaki, cm, meter atau selainnya. Bendera PAS digunakan dalam setiap perayaan atau perjumpaan yang dianjurkan dan disertainya. Juga digunakan sebagai latar belakang dalam sesuatu majlis, pada kenderaan, pejabat atau rumah-rumah ahli di semua peringkat, terutamanya semasa kempen-kempen pilihan raya.

PAS dengan lambang ‘tangan terbuka’nya terus menyertai pilihanraya, walaupun pendaftaran pertubuhannya baru diluluskan sehari sebelum penamaan calun, iaitu pada 14 Jun 1955, setelah hampir 4 tahun permohonannya diajukan.

Dari 52 buah kawasan Dewan Perundangan Persekutuan atau Dewan Rakyat yang juga disebut Parlimen, PAS hanya mampu bertanding di sebelas (11) kawasan sahaja. Iaitu 3 di Perak, 2 di Selangor, 3 di Kelantan, 1 di Pahang, 1 di Seberang Prai dan 1 di Kedah. Apakah ini juga satu difinasi ‘tangan terbuka’, yakni terbuka dan kosong dari kemampuan menewaskan lawannya?

Rujukan:

1.Perlembagaan PAS, pindaan 1987
2.Hasil dari interbiaw penulis dengan Pegawai-pegawan Pejabat Agung PAS, Ustaz Amaluddin Darus, Ustaz Osman Hamzah, Ustaz Baharuddin Latif, Ustazah Hayati dan lain-lain sekitar tahun-tahun 80an.

No comments: